CHAOYANG – Seorang lelaki mendakwa tinggal dalam lubang perparitan syarikat elektrik hampir 20 tahun semata-mata untuk berjimat bagi membiayai pelajaran anaknya di ibu negara China, Beijing, lapor akhbar di sini.
Selepas mendapat tahu nasib lelaki itu, pihak berkuasa Beijing bertindak memberi penginapan sementara kepadanya, lapor media di sini.
Penduduk tempatan menghubungi polis selepas menemui lelaki berusia 53 tahun itu, Wang, dalam lubang berkenaan kelmarin.
Ia terletak dalam kawasan Masyarakat Taman Lido di daerah Chaoyang yang hanya sebesar empat meter persegi.
Bagi mengelak dilihat orang, Wang meletakkan kepingan kadbod untuk menutup lubang itu.
Wang mendakwa, dia tinggal di ruang sempit itu hampir dua dekad bagi membolehkannya berjimat untuk membiayai persekolahan tiga anaknya di daerah Huairou, 40 kilometer dari sini di utara Beijing.
“Kos persekolahan memang banyak. Isteri saya menjaga mereka di rumah manakala saya mencari apa jua kerja.
“Kadar sewa satu bilik sekurang-kurangnya 300 yuan (RM150), jadi untuk berjimat, saya tinggal dalam lubang itu hampir 20 tahun,” katanya.
Berikutan itu, pihak berkuasa memberikannya penginapan sementara, kata seorang pegawai polis.
“Kami akan hubungi keluarganya dan menghantarnya ke pusat bantuan jika perlu,” kata pegawai itu lagi.
Pekerja bekalan tenaga memberi amaran, adalah bahaya untuk sesiapapun berada di dalam lubang berkenaan meskipun tiada saluran elektrik melaluinya.
“Ada banyak peralatan di dalamnya. Sukar membayangkan apa akan berlaku jika peralatan itu disentuh sesuka hati,” kata seorang pekerja di syarikat bekalan tenaga Beijing.
No comments: