Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5[ImagesOnly]

Style6

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dihukum penjara 15 tahun dan sebatan enam kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol, melakukan seks luar tabii dan merompak seorang penolong pengurus bank di dalam tandas, tahun lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Azhan Mohamad Johan, 28, yang bekerja sebagai tukang cuci selepas lelaki itu hari ini menukar pengakuan kepada bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Pertuduhan terhadap tertuduh yang pekak dan bisu itu dibacakan dengan bantuan jurubahasa isyarat dari Mahkamah Persekutuan, Tan Lee Bee.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan oleh Mohamad Azhan terhadap mangsa yang berusia 38 tahun di dalam tandas tempat kerja wanita tersebut di Jalan Tun Perak di sini antara pukul 7 pagi dan 7.15 pagi, 12 September lalu.

Bagi tuduhan rogol, dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan manakala tuduhan seks luar tabii mengikut Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Dia dihukum penjara 15 tahun dan sebatan tiga kali bagi kesalahan rogol manakala bagi kesalahan melakukan seks luar tabii, dipenjara 13 tahun dan sebatan tiga kali.

Tertuduh juga dipenjara tujuh tahun bagi kesalahan merompak wang mangsa RM100 mengikut Seksyen 392 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat.

Kesemua hukuman diperintah berjalan serentak bermula tarikh lelaki itu ditangkap pada 12 September tahun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh atas alasan elemen kekerasan yang digunakan tertuduh terhadap mangsa dan faktor kepentingan awam.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan dua anak yang berumur tujuh dan sembilan tahun serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Mangsa yang turut hadir dalam prosiding hari ini untuk memberi kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) menyatakan, dia berasa sangat tertekan dan hampir mahu membunuh diri kerana mereka yang bekerja di tempat kerjanya mengetahui insiden itu.

''Saya tidak boleh berjalan di luar seperti biasa lagi. Saya perlu melalui rawatan fizikal dan psikologi kerana perbuatan tertuduh.

''Saya tidak boleh tidur dan apabila bersendirian akan mengingati apa yang dia lakukan sehingga perlu mengambil pil tidur serta bercuti selama tiga bulan,'' ujar mangsa.

PERINGATAN!

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Post a Comment