Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5[ImagesOnly]

Style6

Mastura perlu berada di samping adiknya sepanjang masa.

KUALA PILAH – Demi kasihkan adik, seorang kakak di sini, sanggup berhenti kerja sebagai jurujual untuk menjaga adiknya yang terlantar sakit selepas dijangkiti penyakit ‘Japanese Encephalitis' (JE).

Mastura Mat Razalrol, 24, berkata, adiknya, Mohd Fadil, 18, disahkan mengidap penyakit itu selepas dua minggu dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) akibat demam panas pada 23 Mac 2012.

Menurutnya, selepas itu, adiknya tidak sedarkan diri dan penyakit itu semakin kritikal pada 25 Mac lalu sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN.

"Berita adik saya dijangkiti wabak JE memberi satu tamparan besar buat keluarga kami, namun kami reda.

"Pada mulanya kami agak terkejut kerana adik tidak suka melakukan aktiviti luar dan banyak menghabiskan masanya di rumah. Di sekolah pula adik tidak pernah menghadiri aktiviti luar seperti perkhemahan. Doktor juga memaklumkan ini adalah kes pertama di Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui di rumah Kampung Gamin Ulu.

Mastura berkata, selepas itu, adiknya di kuarantin dan perlu mencuci darah di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

"Alhamdulillah setelah tiga kali cuci darah, adik mula sedar dan doktor mengesahkan dia bebas daripada wabak JE.

“Dengan perkembangan positif itu, adik ditempatkan di wad biasa dan sedikit sebanyak menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.

Namun katanya, perasaan gembira itu tidak kekal apabila sekali lagi adiknya dimasukkan ke ICU kerana tidak sedarkan diri.

“Pada Jun 2012, doktor mengesahkan paru-parunya dijangkiti kuman dan adik tidak mampu lagi bernafas seperti biasa. Doktor mengambil keputusan leher adik ditebuk untuk dipasang tiub pernafasan.

“Setelah pembedahan selesai, adik ditempatkan di wad biasa dan terpaksa menggunakan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Mastura berkata, selepas setahun berada di HTAN, pihak hospital mencadangkan adiknya dibawa pulang ke rumah tetapi keluarganya harus memiliki peralatan bantuan seperti di hospital dan perlu dikendalikan oleh seorang yang mahir.

“Atas desakan itu, saya mengambil keputusan berhenti kerja di Kuala Lumpur untuk menjaga adik yang keluar dari hospital pada Februari 2013.

“Setelah mahir menggunakan mesin di hospital, saya cuba mohon bantuan peralatan seperti katil, mesin pernafasan, tilam dan tangki oksigen dari Baitulmal dan Alhamdulillah, permohonan kami diluluskan.

“Manakala bilik khas yang dilengkapi penghawa dingin dibina di rumah hasil disumbangkan Adun Seri Menanti, Datuk Abdul Samad Ibrahim,” katanya.

Kata Mastura, meskipun menerima bantuan peralatan, namun bebanan kewangan masih menghantui mereka sekeluarga iaitu sebanyak RM2,000 sebulan.

“Tiada niat saya untuk meminta-minta tetapi keluarga kami sudah hilang punca bagaimana untuk menangani masalah ini.

“Bil elektrik sudah pasti tinggi kerana alat bantuan pernafasan dan penghawa dingin terpaksa digunakan 24 jam.

“Adik tidak mampu untuk makan dan hanya minum susu khas dengan harga RM74 satu tin dan perlu minum tujuh kali sehari. Adik memerlukan lapan tin sebulan dan kos keseluruhan dianggarkan RM592 sebulan,” katanya yang turut memberitahu adiknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Selain itu, Mastura berkata, adiknya terpaksa menggunakan 60 keping lampin pakai buang seminggu dan sudah tentu melibatkan kos yang tinggi di samping beberapa lagi keperluan ubat-ubatan.

“Tiub saluran pernafasan juga perlu ditukar dua bulan sekali dengan kos RM200. Emak hanya bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdul Samad, Tanjung Ipoh dengan pendapatan RM700 sebulan manakala ayah pula kerja kampung," katanya.


Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Mastura di talian 017-2405710 atau melalui akaun Maybank 155023358880 atas nama Fatimah Sidek.

PERINGATAN!

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Post a Comment