Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5[ImagesOnly]

Style6



Kanser paru-paru yang kerap terjadi adalah kanser bronkial dan ia merupakan jenis kanser yang kerap ditemui sekarang. Kadar kematian yang berlaku akibat kanser ini agak stabil di kalangan lelaki tetapi semakin meningkat di kalangan wanita.

Kanser paru-paru merupakan salah satu daripada kanser yang digeruni kerana kebiasaannya kanser ini dikesan apabila telah menjangkau tahap bahaya (tahap 4) dan telah merebak ke organ lain. Oleh itu, kemungkinan untuk sembuh agak tipis.

Justeru, tanda amaran awal kanser paru-paru perlu diketahui supaya ia dapat dikesan lebih awal. Ini terutamanya perlu bagi mereka yang mempunyai risiko tinggi mengidap penyakit ini seperti perokok, ahli keluarga perokok, ahli keluarga pernah menghidapi kanser ini, pernah terdedah kepada radiasi, selalu stres, dan lain-lain penyebab. Orang lelaki lebih terdedah kepada kanser paru-paru ini berbanding dengan orang perempuan, kerana kebanyakan perokok adalah kaum lelaki.

Rokok merupakan satu-satunya punca yang sering dikaitkan dengan kanser ini. Tetapi, bagi perokok pasif (menghidu asap rokok) kemungkinan untuk mendapat kanser ini adalah 1.5 lebih tinggi. Kanser ini juga dikaitkan dengan pendedahan kepada asbestos seperti kilang kuari dan pada arsenik, kromium, bahan petroleum dan radiasi.
1. (depresi) atau perubahan mood lain
Ini termasuk juga kebimbangan dan simptom psikiatrik yang lain. Perubahan perangai atau mood ini boleh dirasakan sendiri atau dapat dilihat oleh orang di sekelilingnya.
2. Selalu sakit yang berulang-ulang
Sakit yang berulang-ulang beserta dengan selesema, flu, batuk-batuk atau pnemonia (radang paru-paru) terutamanya di kalangan perokok. Ini disebabkan kanser ini terdapat di tisu paru-paru dan tiub bronkia yang menghasilkan simptom menyerupai flu atau batuk-batuk yang tidak baik-baik.
3. Hilang selera makan dan turun berat badan secara mendadak tanpa sebab
Apabila kanser paru-paru ini sudah merebak ke hati, pengidapnya akan hilang selera makan.
4. Buah dada lelaki membesar secara abnormal (gynecomastia)
Terutamanya di kawasan bawah puting susu, bukannya di sekeliling tisu buah dada orang lelaki. Ini disebabkan oleh tumor kanser paru-paru ini merembeskan hormon, protein dan bahan lain ke dalam salur darah dan menyebabkan hormon badan tidak stabil yang membawa kepada pertumbuhan buah dada lelaki.
5. Keletihan luar biasa
Badan terasa letih kerana bahan yang dirembeskan ke dalam salur darah oleh tumor kanser paru-paru ini mempengaruhi paras oksigen, kesihatan sel darah merah, mengganggu fungsi kelenjar adrenal dan aspek lain dalam pengeluaran tenaga.
6. Hujung jari sakit dan menebal atau bengkak
Ini merupakan tanda biasa bagi kanser paru-paru. Kadang-kadang simptom ini disangkakan sebagai simptom masalah nutrisi (pemakanan) atau alergi.
7. Nafas pendek dan dada berbunyi
Tanda ini seperti orang astma. Keadaan ini terjadi kerana pertumbuhan tumor kanser paru-paru ini mengganggu kelancaran fungsi paru-paru menarik nafas masuk dan menghembuskan nafas keluar.
8. Batuk berpanjangan atau suara ke dalam disertai dengan air liur yang banyak keluar
Batuk berpanjangan ini adalah seperti batuk perokok sehingga berbulan-bulan, malahan ada yang sampai bertahun lamanya. Batuk ini kering seperti tanda alergi atau batuk yang basah yang berkait dengan flu atau selesema. Kahak yang keluar terdapat kesan-kesan darah. Ini mungkin disebabkan salur bronkus tersumbat oleh tumor atau mukus, apabila batuk maka sebahagian darah daripada tumor ini akan masuk ke dalam kahak.
9. Otot lemah dan terasa tidak larat melakukan aktiviti fizikal harian yang biasa dilakukan
Ini disebabkan tumor di paru-paru menghasilkan antibodi yang menyerang otot dan merembesakan bahan kimia yang boleh mengganggu aktiviti biasa sel darah merah yang boleh juga menyebabkan anemia.
10. Sakit dada, belakang, bahu atau perut
Selalunya tanda sakit dada dan belakang ini disalahertikan atau disangka sakit otot biasa atau sakit jantung. Sakit dada dan belakang ini adalah disebabkan oleh pertumbuhan tumor yang menekan saraf di bahagian-bahagian tersebut.
Oleh itu, jika anda mempunyai satu atau lebih tanda-tanda amaran yang dinyatakan di atas, eloklah dapatkan pemeriksaan doktor pakar (jangan hanya bergantung kepada pemeriksaan doktor di klinik-klinik biasa yang selalunya dianggap sebagai sakit, batuk atau demam biasa)

Antara tanda-tanda kanser paru-paru adalah seperti:
Batuk = 42%
Sakit dada = 22%
Batuk berdarah = 15%
Lelah, hilang berat badan, suara serak = 5%

Sekiranya seseorang disyaki menghidap penyakit kanser paru-paru, beberapa langkah pemeriksaan akan dijalankan.

Antaranya ialah:
Sejarah kesihatan akan ditanya dengan lengkap
Pemeriksaan akan dilakukan : kesihatan umum, dada, bahagian badan lain untuk mengesan perebakan ke anggota badan lain seperi tulang, hati, buah pinggang, otak dan lain-lain.
Penyiasatan akan dijalankan :
1. X-ray dada: untuk lihat kemungkinan ada ketumbuhan atau sakit lain.
2. CT Scan: untuk lihat ketumbuhan, memeriksa saiz ketumbuhan dan perebakan yang mungkin terjadi.
3. Bronkoskopi: satu teropong akan disalurkan ke dalam paru-paru untuk melihat ketumbuhan dan mengambil sedikit cebisan tisu bagi analisis patologi.
4. Fine needle aspiration biopsi: Jarum halus dicucuk dari luar dada untuk mengambil sedikit tisu bagi analisis patologi.

Berikut adalah beberapa kaedah rawatan yang biasa digunakan untuk merawat penyakit ini:
1. Pembedahan: Namun hanya 20% yang masih boleh dilakukan, selebihnya pesakit telah terlalu teruk. Sebahagian paru-paru akan dibuang.
2. Radioterapi: Untuk mematikan sel kanser sebagai rawatan penyembuhan atau paliatif (mengurangkan kesakitan).
3. Kemoterapi: Ada jenis kanser paru-paru yang boleh dirawat dengan kemoterapi. Rawatan melalui kombinasi beberapa bahan kemoterapi.

Kanser paru-paru dapat dikesan diperingkat awal dengan melakukan beberapa kaedah saringan:
1. X-ray dada: 1 tahun sekali
2. Periksa kahak: 4 bulan sekali
Bagaimana Nak Lalui Kehidupan Dengan Kanser Paru-Paru

Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana kehidupan anda setelah mengetahui anda penghidap kanser paru-paru.
Kebanyakan orang beranggapan kanser paru-paru boleh disembuhkan.

Kebanyakan pesakit yang dirawat boleh hidup seperti orang normal sehingga bertahun-tahun. Ini benar jika anda mempunyai kanser pada peringkat awal.

Adalah sangat penting bagi anda untuk mengikuti nasihat doktor untuk membuat pemeriksaan ulangan sekerap yang boleh. Anda mungkin dinasihati untuk membuat CT scan atau x-ray dada terutamanya pada tahun awal selepas
rawatan tamat.

Sekiranya kanser anda berada pada peringkat yang lebih teruk, contohnya kanser telah merebak ke kelenjar limpa anda, anda mungkin mempunyai beberapa tahun untuk terus hidup. Ini bergantung kepada jenis kanser yang dihadapi oleh anda dan bagaimana rawatan kanser tersebut berkesan dalam menangani kanser dalam badan anda.
Berapa Lama Saya Dapat Hidup?

Salah satu soalan yang paling kerap ditanya oleh pesakit ialah “Berapa lama saya dapat hidup?“.

Doktor anda walaupun tahu banyak mengenai penyakit anda, tetapi tiada siapa yang tahu jangka hayat seseorang kerana hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.

Sesetengah doktor cuma memberikan jarak masa yang anda ada untuk hidup. Ianya bergantung kepada usia seseorang.

Mungkin berguna sekiranya anda bertanya kepada doktor bagaimana anda akan rasa unuk beberapa bulan yang akan datang. Tanya doktor apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan. Maklumat tambahan sebegini dapat membantu anda dalam merancang masa depan anda.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit yang mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan selalunya mempunyai kehidupan yang baik sebagai pesakit kanser.

Pesakit yang sentiasa menjadikan dirinya aktif dan membuat perancangan masa depan juga dapat hidup dengan lebih baik. Amat membantu sekiranya anda berfikir anda seorang pesakit kanser yang akan dapat hidup dengan baik semasa rawatan dan anda akan mempunyai kehidupan yang produktif dan baik.

PERINGATAN!

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Post a Comment